Satu Komuniti

"Say something about your community here"

Friday, May 7, 2010

Perarakan Maulidur Rasul: Wajar diteruskan atau tidak

Baru-baru ini timbul sedikit pertikaian apabila disebut kerajaan negeri Pulau Pinang ingin membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Ia dijadikan isu politik oleh ahli politik. Walaupun telah dijelaskan bahawa hal itu tidak benar, saya suka untuk mengulas amalan tersebut dari perspektif bukan politik kepartian, tetapi melalui perspektif yang sedikit berbeza. Adakah jika benarlah dibatalkan perarakan itu, adakah ia merupakan satu isu besar dari sudut agama serta tanda tidak menghormati baginda Rasul dan Islam?
Seumur hidup saya, saya belum dan tidak pernah menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya tidak berhasrat untuk membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan hukum tentang perarakan seperti itu. Saya kira hal ini setiap tahun akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk, menyemai titik kebencian di antara satu sama lain. Saya ada pandangan dan pendirian dalam hal sama ada bid'ah atau tidak sebuah perarakan Maulidur Rasul, Namun cukuplah memadai tulisan-tulisan dari mereka yang telah mengulas panjang lebar.Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita sama-sama fikir dan fahami tentang keutamaan atau yang ‘sepatutnya' sahaja.
Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
Justeru itu, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul, atas alasan-alasan yang mereka yakini, aktiviti yang paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.


dipetik dari: zaharuddin.net 

0 comments:

Post a Comment